Jangan Lupakan 'Siti Khadijah' Kita

Minggu yang lalu kebetulan saya berbual-bual dengan Dr. Tengku Asmadi (pengasas MAP training) dan juga Puan Noraini Hj Ahmad dari UIA sementara menanti mereka berdua muncul di TV. Entah kenapa tiba-tiba perbualan itu menjurus kepada soal poligami. Tentang peranan isteri, kerjaya dan segalanya. Saya bertuah dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka berdua. Dalam perjalanan pulang, hati saya terus mendesak-desak untuk menulis sesuatu. Tiba-tiba teringat catatan lama… Mari sudi-sudikan berkongsi rasa dengan saya:

Sungguh, kau jangan lupakan dia. Dia yang sejak awal rela untuk bersamamu - mengharungi denai dan ngarai. Pada segala kesusahan yang dirasainya sejak mula. Isterimu, adalah sayap kiri. Pelengkap terbang kita melayangi suka dan duka, ria dan nestapa dalam kehidupan yang sementara ini. Aku pasti dia telah tua sekarang. Tenaga wanitanya pasti dipagut usia dan gelombang rasa.

Pada usia yang hampir mencecah pertengahan abad, tidak kira ketika kariermu sedang di puncak atau masih terus mendaki, kau tidak punya alasan untuk meminggirkan dia. Tergamakkah kau mematahkan tongkat yang membantumu melangkah, atau membakar jembatan yang telah membawamu ke seberang? Jangan, jangan begitu… bukankah tidak bersyukur kepada manusia kekadang mencacatkan syukur kita kepada Allah?

Apa salahnya kau teladani Rasul yang mengenang jasa Siti Khadijah - isteri yang memberi selimut waktu baginda kedinginan dilanda wahyu pertama? Ketika segalanya meminggir, Khadijah tega dan sedia menjadi insan terhampir. Segalanya diserahkan kepada perjuangan suami… kerana dia dan suami adalah satu. Satu hati menegakkan kalimah yang satu dilautan berhala yang beribu!

Tergenang air mata Rasul bila mengenangkan Khadijah. Jauhari yang mengenalnya sewaktu gelap Jahiliyah. Orang lain buta, tetapi Khadijah tidak… dia tetap mengenal permata di tengah celahan kaca. Lantas dia menjadi mahkota di hati Rasulullah. Dukacita Nabi atas pemergiannya diubati oleh peristiwa besar Israk dan Mikraj. Lalu Tahun Dukacita abadi dalam sejarah - nostalgia duka yang berbekas di hati Rasulullah.

Ketika hidupnya, ketika pemergiannya, Rasul mengenangnya. Tatkala ada hidangan yang hendak dijamukan, sering Rasul berpesan… kirimkan kepada kawan-kawan Siti Khadijah. Siapa yang menghantar makanan ke gua Hira’ ketika Nabi Muhammad gelisah di tengah amukan jahiliyah. Siapa pula yang menahan kesukaran untuk hamil dan melahirkan cahaya mata Rasulullah? Kita tentu akur bahawa srikandi cinta Rasul ialah Siti Khadijah.

Pasti isteri kita tidak sebaik Khadijah, kerana kitapun tidak semulia Muhammad SAW. Namun apa salahnya cinta sejati itu diteladani dalam mengharungi cinta suami-isteri masakini. Yang berubah hanya ‘alat-alat’ teknologi, tetapi bukan soal hati. Hukum cinta tetap abadi dan hakiki - untuk disayangi, mesti terlebih dahulu menyanyangi! Jangan kau lupakan jasa insan yang bersamamu ketika kau ‘merangkak’ agar engkau tidak tersungkur semula bila sudah di puncak.Jika alam boleh bersuara, pasti semuanya akan mengingatkan akan betapa besarnya ’saham’ seorang isteri pada kejayaan seorang suami.

Jangan kau melupakannya, kerana melupakannya bererti kau melupakan dirimu sendiri. Jangan melihat ‘pucuk muda’ di hujung dahan sehingga kau lupa ‘akar tua’ yang menumbuhkan pepohonan. Insan semulia Muhammad SAW itupun masih mengenangkan jasa isteri, apalagi kita insan yang biasa-biasa ini… Jangan gigit tangan yang terus rela dan tega bersamumu dalam perjalanan ini. Kenang dan balas jasanya sementara dia masih ada. Pesanku, buatmu dan buatku jua… jangan lupakan ‘Siti Khadijah’ kita!

dipetik dari: http://genta-rasa.com

0 comments:

Post a Comment