Gaza medan uji senjata Israel
KUALA LUMPUR 6 Feb. – Genting Gaza telah digunakan oleh Israel untuk menguji beberapa jenis senjata baru seperti Dense Inert Metal Explosive (DIME) semasa melakukan pengeboman, serangan dan kekejaman selama 22 hari di bumi Palestin pada bulan lepas.
Dua doktor dari Jordan yang berada di Genting Gaza dari 10 hingga 18 Januari semasa Israel melakukan serangan itu iaitu Dr. Hamdi Abu Adas dan Dr. Husam Zagha memberitahu, kebanyakan kematian dan kecederaan teruk yang dialami oleh rakyat Palestin adalah akibat senjata baru itu.
Dr. Hamdi yang merupakan pakar bedah memberitahu, bom baru iaitu DIME dan bom fosforus amat berkesan sehingga sesiapa yang berada di dalam jarak letupan sama ada cedera parah ataupun mati.
Katanya, bom itu apabila dijatuhkan akan melantun ke udara semula dan terus meletup mengeluarkan serpihan besi tajam yang boleh menembusi badan, menghancurkan bahagian badan manusia sekiranya berada di dalam jarak lima hingga 10 meter.
‘‘Mayat-mayat rakyat Palestin yang dihantar ke hospital semuanya berada dalam keadaan hancur di bahagian tangan, kaki dan kepala akibat terkena bom DIME ini.
‘‘Perkara yang sama dikatakan oleh doktor dari Norway yang pernah berkhidmat di Afghanistan, Afrika dan Lebanon di mana mereka tidak pernah melihat kecederaan yang teruk seperti yang dialami rakyat Palestin di Genting Gaza akibat terkena bom DIME tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencerita pengalaman merawat rakyat Palestin pada Forum Mengenai Palestin anjuran Yayasan Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang (KLFCW) dengan sokongan Kumpulan Utusan dan Berjaya.
Mengenai bom fosforus yang digunakan oleh Israel, ia akan terus membakar tubuh manusia sehingga menghancurkan organ dalaman, tulang dan pelbagai bahagian badan manusia selagi ada oksigen.
Jelasnya, dalam satu kes, terdapat empat orang dalam satu keluarga iaitu seorang ibu dan tiga orang anaknya hangus terbakar sehingga tidak dapat dikenali langsung akibat bom fosforus tersebut.
Sementara Dr. Husam yang juga seorang pakar bedah memberitahu, setiap rakyat Palestin yang dihantar ke hospital akibat terkena serangan bom Israel itu terpaksa dipotong anggota badan kerana tidak dapat diselamatkan.
Jelasnya, kebanyakan anggota tubuh badan mangsa hancur dan terpaksa dibuang seperti sebelah tangan dan kaki malahan ada yang terpaksa dipotong kedua-dua kaki sehingga di atas lutut.
‘‘Setiap mangsa akan kehilangan anggota badan ataupun mati kerana terkena serpihan besi tajam DIME.
‘‘Serpihan besi tajam dari bom DIME ini terlalu kecil dan ia hanya boleh menembusi tubuh badan tetapi tidak dapat dikeluarkan menyebabkan kebanyakan mangsa mati,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment